PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi kerja-kerja memproses kontena yang tiba di Pelabuhan Klang dalam usaha untuk menyelesaikan masalah kesesakan di situ.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, berpandukan SOP tersebut, bermula 1 Mei ini kerja-kerja memproses kontena yang tiba di Pelabuhan Klang perlu diselesaikan dalam tempoh tiga hari selain mengehadkan jangka masa pemprosesan setakat 30 hari sahaja.
“SOP baharu ini adalah bagi menangani isu kontena yang tersadai selama bertahun-tahun di Pelabuhan Klang sehingga mengakibatkan kerugian malah ia juga sekaligus dapat mempercepatkan waktu pemeriksaan oleh agensi-agensi berkaitan.
“Dahulu tiada tempoh masa yang diberikan untuk mengeluarkan kontena dari pelabuhan namun kini kita tetapkan satu hari satu pemeriksaan jadi selepas tiga hari kontena tersebut sudah bersedia untuk dialihkan keluar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan mesyuarat bersama pemain industri logistik di Ibu Pejabat MOT di sini hari ini.
Menurut Ka Siong, usaha melancarkan proses pemeriksaan tersebut bakal melibatan kerjasama daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
Tambah beliau, selepas tempoh tiga hari itu berlalu dan masih ada keraguan terhadap status kontena atau didapati tidak disytihar, agensi berkaitan boleh melakukan pemeriksaan bermula hari ke tiga itu sehingga maksimum hari ke 30. – KOSMO! ONLINE