PETALING JAYA – Usahawan tudung, Mawar Karim mendedahkan bahawa dirinya sekarang sedang dalam proses mengenali seseorang yang istimewa sejak setahun lalu.
Kata Mawar atau nama sebenarnya, Mawar Abdul Karim, lelaki yang sedang dikenalinya bukanlah datang dari dunia hiburan mahupun politik.
“Macam saya cakap sebelum ini, saya sedang dalam proses mengenali seseorang. Untuk perincian lanjut, saya cuma harapkan doa yang terbaik buat saya dan keluarga. Juga untuk urusan melibatkan jodoh dan berteman.
“Orang biasa sahaja. Saya orang biasa dan dia pun sama. Dia seorang ahli perniagaan senang cerita. Tiada kaitan dengan politik atau apa-apa.
“Berkenaan status, saya tak berani nak dedahkan sebab masih lagi terlalu awal kan. Doa yang terbaik sahaja buat saya,” ujarnya kepada Kosmo! Online.
Ditanya sama ada sudah nampak ruang dan peluang untuk sekali lagi menggalas status sebagai isteri, Mawar, 33, tidak menolak perkara tersebut akan berlaku.
“Insya-Allah dan kita pun belajar daripada pengalaman. Jangan buat kesilapan yang sama. Tak bermakna awal kita tak bagus dan pengakhiran kita juga begitu. Masa depan dan itu yang kita kena betulkan lagi.
“Sejak akhir tahun orang sibuk cakap saya dah kahwin tapi sebenarnya tak. Jadi, sekarang saya jujur cakap sedang kenali seseorang dan hubungan memang serius.
“Anak pun dah usia lima tahun. Sampai masa, saya perlukan teman atau senang cerita, ‘soulmate’ untuk mulakan hidup baharu. Saya selesa dengan orang ini dan ‘chemistry’ memang. Dia faham keadaan saya yang mempunyai anak.
“Penting untuk orang itu terima saya seadanya. Sebab saya datang dengan ‘pakej 1 plus 1’ (ibu tunggal),” ujarnya.
Terdahulu, Mawar berkahwin dengan pelakon, Fizo Omar pada pada 10 November 2013 namun bercerai 10 Julai 2019.
Hasil perkongsian hidup selama enam tahun, mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Maryam. – KOSMO! ONLINE