PUTRAJAYA – Malaysia komited dalam menangani isu buruh paksa, tegas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Ke arah itu, beliau berkata, pihak kementerian telah meminta Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan terlebih dahulu sebarang siasatan berhubung buruh paksa.
Menurut beliau, langkah tersebut supaya masalah itu dapat diatasi sebelum produk Malaysia disekat daripada memasuki negara itu.
Tambahnya, terdapat beberapa produk dikenakan sekatan eksport oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS dengan alasan faktor buruh paksa namun sehingga kini kementerian tidak menerima sebarang siasatan daripada pihak AS.
“Ini menjadikan kita sukar mengambil tindakan terhadap majikan.
“Kami telah menjalankan siasatan mengikut 11 indikator buruh paksa sedia ada yang digariskan ILO tetapi tidak dapat mengesan kesalahan maka jumpa pihak ILO dan Kedutaan AS supaya sebarang siasatan oleh pihak AS harus dimaklumkan kepada kita, jika tidak kita tidak akan lihat penyelesaian,” katanya. – KOSMO! ONLINE.