PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki melakukan tranformasi membersihkan sebuah taman permainan di sebuah kawasan di Kota Bharu, Kelantan mendapat perhatian ramai.
Menerusi perkongsian di laman sosialnya, taman tersebut yang sentiasa meriah dipenuhi dengan kanak-kanak berubah suram apabila keadaan kawasan terbabit menjadi tidak terurus.
Bukan sahaja menyebabkan kanak-kanak tidak dapat bermain, malah situasi itu turut mencacatkan pemandangan bagi sesiapa yang lalu di sekitarnya.
“Bulan lepas setiap petang taman ni meriah dengan kanak-kanak yang duduk di sini. Sekarang macam hutan simpan dah.
“Semalam lalu sini, ada budak mengamuk tidur atas jalan depan taman sebab nak main tetapi mak tak bagi sebab semak tebal sangat,” katanya dalam satu hantaran.
Menurutnya, dia memerlukan masa selama tiga hari bagi membersihkan kawasan tersebut berikutan semak yang tebal dan dipenuhi dengan sampah.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai memberikan pujian di atas usaha murni individu tersebut.
“Sungguh mulia hatimu bang. Semoga diberkati selalu,” kata Aziz Ghazali.
“Terbaik. Sepatutnya ada peyelenggaraan berkala daripada pihak berwajib. Bagus juga kalau buat gotong royong penduduk setempat daripada dibiarkan menjadi hutan rimba, sakit mata memandang,” ujar Rosnani Ibrahim. – KOSMO! ONLINE