PASIR MAS – Seorang penyeludup lari meninggalkan kereta dipandunya yang membawa enam guni mercun bola bernilai RM3,000 selepas terbabas di jalan Kampung Perah, Slow Machang di sini semasa dikejar polis pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, anggota polis melihat sebuah kereta jenis Toyota Camry dipandu dalam keadaan mencurigakan di jalan berhampiran kawasan perumahan Prima, Lubok Jong semasa menjalankan rondaan rutin kira-kira pukul 8.15 pagi.
Menurutnya, polis mengarahkan kereta itu berhenti namun, pemandunya bertindak memecut kereta tersebut.
“Anggota polis telah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk mendapatkan bantuan dari unit kereta peronda polis untuk mengejar suspek.
“Semasa tiba di jalan Kampung Perah, Slow Machang di sini, kereta dipandu suspek terbabas di bahu jalan. Lelaki itu kemudian dilihat keluar dari kereta sebelum melarikan diri ke arah kawasan semak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu telah menemui enam guni mengandungi mercun bola yang diseludup dari negara jiran.
Menurutnya, polis menunggu di lokasi kejadian selama 30 minit namun, tiada individu yang datang mengambil kereta tersebut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – KOSMO! ONLINE