fbpx

Isu adik Bella, penting golongan kerabat bersuara – Che’ Puan Juliana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KATA Che' Puan Juliana, dirinya sangat terkesan dengan apa yang berlaku kepada adik Bella dan adalah penting untuk golongan kerabat bersuara tentang isu tersebut.

PETALING JAYA – Memegang tanggungjawab besar sebagai selebriti yang berkahwin dengan kerabat diraja, Che’ Puan Juliana Evans menegaskan adalah penting untuk golongan itu bersuara tentang isu adik Bella yang menjadi tumpuan seluruh negara.

Kata pemilik nama lengkap Juliana Sophie Johari Evans itu, setiap manusia tidak mengira pangkat atau darjat mempunyai empati termasuk dirinya dan apa yang terjadi terhadap kanak-kanak kelainan upaya (OKU) sindrom Down itu sangat merobek hatinya.

“Kita semua manusia dan mempunyai rasa empati dan simpati. Sangat penting untuk golongan kerabat yang juga mempunyai pengaruh dan terkenal untuk cakna dengan apa yang sedang berlaku sekarang.

“Lagi-lagi saya pun dah ada anak sekarang, saya sangat sensitif apabila melibatkan kanak-kanak. Penting untuk suarakan pendapat tidak kiralah golongan kerabat atau sesiapa yang mempunyai pengaruh supaya apa yang patut disuarakan sampai kepada orang yang lebih ramai,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pelakon filem KAMI The Movie itu ditemui pada majlis tayangan perdana program raya Awesome TV 2022 di ibu negara semalam.

Juliana, 33, berasa lega kerana Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam menyuarakan pendapat mereka tentang isu berkenaan.

“Alhamdulillah, Johor dah masuk campur tentang kes Bella dan saya sangat-sangat lega kerana saya tahu yang mereka mempunyai hati yang sangat murni.

“Benda-benda sebegini saya pasti mereka akan cuba sehabis baik untuk selesaikannya,” ujarnya.

Sebagai seorang yang berpengaruh, Juliana tidak menafikan banyak perkara yang ingin dilakukan melibatkan banyak perkara namun getusnya, paling penting adalah suara daripada golongan berpengaruh tentang sesuatu permasalahan.

“Kalau boleh saya nak buat lebih banyak lagi. Banyak perkara yang berlaku sekarang ini. Saya nak tolong golongan kanak-kanak, orang tua dan macam-macam.

“Saya pun pasti ramai yang begitu tetapi kadang-kadang, ada halangan sana sini tapi apa yang boleh kita lakukan adalah suarakan pendapat dan timbulkan kesedaran. Itu yang saya buat dari semasa ke semasa.

“Saya pun baca (kes Bella) hari-hari, saya pun sangat terkesan. Saya pun menangis hari-hari tengok video yang dikongsi tentang banjir, peperangan atau penderaan.

“Jadi, pandangan saya sekali lagi amat penting untuk orang terkenal dan berpengaruh suarakan pendapat mereka supaya kesedaran sampai kepada masyarakat,” jelasnya.

Sekadar info, Juliana berkahwin dengan kerabat diraja Selangor, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah pada 2017 dan hasil perkongsian hidup pasangan tersebut dikurniakan seorang puteri bernama Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah Tengku Shariffuddin yang kini berusia 3 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI