KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Sesyen hari ini memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes pengabaian dan penderaan membabitkan remaja sindrom down dikenali sebagai Bella, yang kini berlangsung.
Peringatan itu dikeluarkan Hakim Izralizam Sanusi selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah selepas orang ramai masih membuat hantaran di laman sosial berhubung kes tersebut seperti ‘JusticeforBella’.
“Mahkamah akur dengan semua rakyat Malaysia mempunyai hak kebebasan bersuara, namun, mahkamah mengingatkan terdapat undang-undang yang berkuat kuasa yang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang dikatakan mengeluarkan kenyataan melampau dalam penulisan, hantaran, komen dan sebagainya.
“Apa yang jelas, mahkamah perlu mengingatkan semua, kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada undang-undang yang berkaitan termasuk kandungan, menghina mahkamah dan fitnah.
“Oleh itu mahkamah ingin memberi amaran dan ingatan kepada orang ramai terutamanya yang hadir di galeri awam supaya tidak membuat sebarang komen yang berbentuk fitnah, subjudis atau menghina mahkamah.
“Sekiranya berlaku perkara-perkara tersebut, DPP (Timbalan Pendakwa Raya) boleh mengambil tindakan yang sewajarnya dengan merujuk kepada individu-individu terbabit secara spesifik yang membuat hantaran yang jelas melanggar undang-undang yang menghina mahkamah atau subjudis,” kata hakim itu.
Dalam prosiding sama peguam yang dilantik Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Datuk Baljit Singh Sidhu yang memberitahu hantaran terbabit turut melibatkan officers of the court. (pihak-pihak terlibat). – KOSMO! ONLINE