fbpx

DE Asas 2022 catat kadar 18.33 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (kanan) mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12 secara dalam talian di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) Asas 2022 setakat 15 April 2022 adalah pada kadar 18.33 peratus.

Beliau berkata, perkara tersebut dimaklumkan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) pertama tahun ini yang telah dipengerusikannya hari ini.

Menurutnya, Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) telah diwujudkan bagi menangani cabaran-cabaran utama dalam pengagihan DE.

“Mesyuarat bersetuju supaya Ketua Setiausaha semua kementerian melaporkan status perbelanjaan DE kepada Menteri masing-masing pada setiap bulan supaya tindakan segera dapat diambil bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.

“Selaras dengan RMK-12, kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri empat Menteri Kanan serta Ketua Jabatan dan Agensi yang terlibat secara dalam talian.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat itu telah meluluskan rangka kerja untuk memantau prestasi beberapa petunjuk untuk mencapai sasaran tersebut.

Katanya, petunjuk tersebut merangkumi tiga komponen iaitu kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan.

Beliau memaklumkan, ia termasuklah pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan isi rumah; peningkatan daya saing dan produktiviti serta peningkatan sumbangan industri berimpak tinggi kepada ekonomi.

Juga termasuk dalam komponen berkenaan, ujarnya, adalah pembasmian kemiskinan tegar; pembangunan negeri yang seimbang serta kemampanan dan daya tahan alam sekitar.

“Mesyuarat juga membincangkan strategi membasmi miskin tegar menjelang tahun 2025. Fasa 1 Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bermula pada bulan ini melibatkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 ketua isi rumah (KIR).

“Secara keseluruhannya, sebanyak 1,000 lokaliti akan dipilih untuk pelaksanaan BMTKM sehingga penghujung tahun 2025,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan BMTKM menggunakan pendekatan baru yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan memberi tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara mampan.

“Mesyuarat juga dimaklumkan berkenaan Perancangan Projek Tebatan Banjir yang berjumlah RM15 bilion bagi tempoh lapan tahun (2023 hingga 2030).

“Kaedah pembiayaan projek-projek ini sedang diperincikan oleh Kementerian Kewangan. Perancangan secara holistik ini merangkumi projek jangka masa pendek atau sederhana dan panjang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI