PUTRAJAYA – Berkuat kuasa Sabtu ini, Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju untuk membenarkan pesakit di wad ditemani oleh penjaga dan juga menerima pelawat berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun, tatacara pelaksanaan arahan ini adalah tertakluk kepada kapasiti serta kemampuan hospital dan wad masing-masing.
Menurutnya, kriteria umum bagi pelawat atau penjaga untuk melawat dan menemani pesakit ialah berusia 12 tahun dan ke atas, lengkap vaksinasi Covid-19 serta tidak tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 (seperti mempunyai pelbagai komorbiditi atau sistem imuniti yang lemah).
“Bagi penjaga kepada kategori pesakit tertentu yang perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri, ujian perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam sebelum ketibaan ke hospital. Tarikh dan masa ujian dijalankan perlu dinyatakan berserta gambar sebagai bukti.
“Tidak disyaki menghidap Covid-19 atau individu dalam pemantauan (PUS), tidak mempunyai gejala Covid-19 dan mengisi borang deklarasi Covid-19 serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memakai alat pelindung diri (PPE) seperti ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi penjaga pesakit bukan Covid-19 yang berada di wad serta individu ingin menemani ibu mengandung semasa proses bersalin, mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 iaitu RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif.- KOSMO! ONLINE