SEDAR tak sedar, kita menghampiri penghujung Ramadan. Sepanjang keberadaan di bulan mulia yang penuh keberkatan ini, majoriti individu berlumba-lumba melakukan amal kebajikan.
Tidak kurang juga, ada yang berazam untuk kurus. Tersenyum penulis apabila teringatkan kerenah seorang rakan yang gembira apabila berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 5 kilogram (kg) dalam tempoh dua minggu berpuasa.
Tidak kurang juga ada rakan penulis yang begitu risau apabila berat badan mereka semakin bertambah biarpun berpuasa. Entah di mana silapnya.
Sejujurnya, bukan mudah bagi sesetengah individu untuk menurunkan berat badan. Bahkan ramai sahaja individu mengalami pertambahan berat badan ketika bulan Ramadan termasuk penulis sendiri.
Risau juga apabila mendapati setiap dua rakyat dewasa di negara ini sedang mengalami obesiti.
Bermula dengan peratusan obesiti sebanyak 4.4 peratus pada 1996, angka itu meningkat lebih tiga kali ganda menjadi 14 peratus pada 2006 dan 18.3 peratus pada 2019.
Menurut Pensyarah Pusat Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Mohd. Firdaus Abdullah, pertambahan berat badan di bulan Ramadan berlaku disebabkan oleh pengambilan jumlah kalori seharian yang melebihi jumlah sepatutnya.
Katanya, ia kerana tubuh menggunakan glukosa semasa berpuasa dan pengambilan kalori yang tinggi ketika berbuka akan menyebabkan kurangnya impak kepada penurunan berat badan ekoran kepelbagaian jenis makanan berkalori tinggi yang dihidang ketika berbuka.
“Setiap individu memerlukan pengambilan kalori yang berbeza bergantung kepada berat badan dan keadaan kesihatan semasa.
“Apabila individu mempunyai sasaran khusus iaitu turun sebanyak 5kg, sebaiknya anda perlu mengehadkan pengambilan kalori kepala 1,300 hingga 1,500 kalori dalam sehari,” katanya.
Berkenaan dengan pengambilan kalori, beliau memberitahu, kebiasaannya pada hari-hari lain, individu akan memperoleh 2,000 hingga 3,000 kalori sehari dengan lima kali waktu makan berbanding waktu makan pada bulan puasa.
Bagaimanapun, pada bulan Ramadan, seseorang individu boleh mengurangkan kira-kira 500 kalori sekiranya mereka tidak makan pada waktu siang berbanding hari biasa.
“Berpuasa akan dapat meningkatkan penggunaan sumber tenaga daripada lemak yang terdapat di dalam badan.
“Justeru individu disarankan untuk bersenam mengikut kemampuan seperti brisk walk, slow jig atau turun naik tangga kerana ia dapat membakar lemak yang tidak diingini,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Dietetik Klinikal di Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Lee Shin Jie berkata, individu boleh mengimbangi pengambilan makanan terutamanya sepanjang bulan Ramadan dengan mengamalkan pemakanan mengikut Pinggan Sihat Malaysia, suku-suku separuh.
“Rancang terlebih dahulu sebelum ke pasar Ramadan untuk mengelakkan pembelian yang berlebihan dan terpengaruh dengan pilihan yang ada di bazar terutamanya makanan atau minuman yang manis serta berminyak.
“Pastikan pengambilan makanan yang seimbang dan sihat mengikut Pinggan Sihat Malaysia (suku-suku separuh) ketika sahur dan iftar. Pengambilan air terutama air kosong yang secukupnya juga amat penting untuk gaya hidup sihat,” ulasnya.