KUALA LUMPUR – Harga beras premiumnya yang berpatutan membuatkan produk seperti Basmathi Sultan keluaran syarikat Era Foods MY (Beras Era) menjadi pilihan orang ramai masa kini.
Pengarah Komersial Era Foods MY, Ahmad Farid berkata, beras Basmathi Sultan yang berkualiti premium boleh dinikmati ramai dengan harga mampu milik.
“Kalau hendak dibandingkan, harga di pasaran bagi basmathi seberat lima kilogram mungkin kira-kira RM50 tetapi produk keluaran kami hanya antara RM26 ke RM28.
“Ia juga selaras dengan slogan kami iaitu basmathi untuk semua,” katanya pada program pengedaran 12 kawah bubur lambuk percuma anjuran Beras Era dan Media Mulia Sdn. Bhd. di Masjid Kampung Baru di sini semalam.
Pada program tersebut sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai dalam tempoh kurang sejam.
Kata Ahmad Farid, kualiti beras yang digunakan juga setanding dengan beras-beras jenama lain.
“Kualiti beras keluaran Beras Era berkualiti, sedap dan enak dimakan atau dimasak dengan masakan tradisi kita,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Tukang Masak Bubur Lambuk Masjid Jamek Kampung Baru, Adham Abd. Manan berkata, beras itu tidak seperti beras-beras lain yang pernah digunakannya.
“Ia tak macam beras-beras lain, bila kita masak beras jadi kembang, tidak berair, kurang pecah, hancur pun kurang daripada lima peratus,” katanya.