PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan berangkat ke bazar Ramadan Satok, Kuching, Sarawak, hari ini.
Istana Negara dalam laman akaun Facebooknya memaklumkan, turut berangkat anakanda Seri Paduka Baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.
“Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan isteri, Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar.
“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan membeli juadah berbuka puasa dan meluangkan masa beramah mesra bersama pengunjung di bazar Ramadan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Selain itu katanya, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyantuni peniaga-peniaga di bazar Ramadan tersebut.
Katanya, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat ke majlis berbuka puasa dan santapan malam di Masjid Jamek Negeri, Petra Jaya, hari ini. – KOSMO! ONLINE