fbpx

97 dikompaun ponteng puasa di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa Jainj menahan seorang lelaki yang didapati tidak puasa dengan makan di sebuah warung dalam operasi di Wadi Hana, Johor Bahru hari ini. - FOTO: RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Cuaca panas merupakan alasan utama individu yang didapati tidak berpuasa dalam beberapa siri serbuan yang dijalankan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) sejak awal Ramadan tahun ini.

Ketua Pengarah Penguatkuasaan Jainj, Dzulkafli Mohamed berkata, pihaknya telah mengeluarkan 97 notis kesalahan kepada mereka yang didapati tidak berpuasa sepanjang tempoh penguatkuasaan dijalankan.

Katanya, selain itu pihaknya turut mengeluarkan 23 notis kesalahan kepada pemilik kedai kerana menjual makanan dan minuman kepada individu tidak berpuasa.

“Sejak awal Ramadan ini, Jainj telah menjalankan sejumlah 75 serbuan dalam siri Ops Kesan ini yang bertujuan untuk membanteras perbuatan tidak menghormati bulan Ramadan.

“Antara perbuatan yang diambil tindakan dalam operasi ini termasuklah makan, minum dan juga menghisap rokok di kawasan awam dan mana-mana tempat terbuka.

“Rata-rata yang didapati tidak berpuasa berusia antara 20-an hingga 50-an melibatkan warganegara Malaysia dan juga pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai seramai 13 pegawai dan anggota Jainj dalam Ops Kesan yang diadakan di Tampoi dan Jalan Abdullah Tahir, di sini hari ini.

Tambah beliau, kesemua notis kesalahan yang dikeluarkan pihaknya dibuat mengikut Seksyen 15(a) dan Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI