ALOR GAJAH – Seramai 465 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Ampat di sini terpaksa meneruskan pembelajaran dalam keadaan diancam risiko kejadian tanah runtuh.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Simpang Ampat, Taufik Abd. Rahman berkata, bangunan tiga tingkat blok C di sekolah tersebut kini telah retak dan tidak boleh digunakan sejak Mac lalu.
Katanya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada projek perumahan berdekatan yang didakwa membuat potongan tebing tidak mengikut spesifikasi.
“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah mengarahkan bangunan blok C dikosongkan sehingga Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan pengesahan keselamatan bangunan.
“Bagaimanapun, keselamatan 465 murid dan 37 guru di sekolah ini masih terancam dengan risiko kejadian tanah runtuh kerana tidak mustahil dengan cuaca hujan lebat berterusan, pergerakan tanah mungkin berlaku,” katanya pada sidang akhbar di SK Simpang Ampat di sini hari ini.
Beliau berkata, lebih 200 murid tahun dua, empat dan lima terpaksa meneruskan sistem penggiliran kerana sekolah mengalami masalah kelas tidak mencukupi.
“Pada hari ini, anak-anak ini terpaksa meneruskan sistem penggiliran, malah pihak sekolah juga terpaksa menggunakan bilik tayang, bengkel reka bentuk teknologi dan perpustakaan untuk dijadikan kelas.
“Mereka ini belajar dalam keadaan yang tidak selesa disebabkan masalah itu,” katanya.
Jelasnya lagi, bangunan yang menempatkan seramai 70 murid prasekolah yang berusia enam tahun itu juga telah mulai retak dan membimbangkan.
Taufik berkata, pihaknya berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu tersebut. – KOSMO! ONLINE