GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang percaya 111 etnik Rohingya yang masih dicari selepas meloloskan diri dari Depoh Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah semalam masih berada di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dekat sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, menerusi Ops Tutup semalam dan hari ini, polis Pulau Pinang berjaya menahan semula 30 orang etnik Rohingya yang kesemuanya lelaki di kawasan Sungai Kerian dan Nibong Tebal.
“Baki yang masih dicari adalah 111 orang (setakat pukul 2 petang), saya tidak pasti sama ada Kontinjen Kedah, Kontinjen Perak atau Jabatan Imigresen ada buat tangkapan semula, ini adalah konteks pencarian yang dijalankan oleh Kontinjen Pulau Pinang.
“Kita percaya mereka masih berada di sekitar lokaliti kita berdasarkan keadaan mereka yang tidak tahu ke mana arah tujuan, jika mereka telah melepasi sempadan Perak, polis di sana sudah bersedia untuk mengesan mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Shuhaily menyampaikan amanat kepada anggota dan pegawai sempena Hari Raya Aidilfitri di Dewan Mutiara, IPK Pulau Pinang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi semalam, seramai 528 tahanan daripada 664 tahanan di depoh tersebut melarikan diri selepas berlaku rusuhan kecil.
Menurut Mohd. Shuhaily, seramai 120 pegawai dan anggota polis Kontinjen Pulau Pinang telah terlibat dalam usaha mengesan semula tahanan yang meloloskan diri itu.
“Hari ini usaha pencarian tahanan yang meloloskan diri turut dibantu oleh Unit Udara PDRM, bagaimanapun saya tidak dapat berikan maklumat lanjut mengenai operasi unit udara ini,”katanya. – KOSMO! ONLINE