SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengenal pasti 101,000 pelajar universiti tersebut dalam kalangan B40 layak menerima sumbangan komputer.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, pihak UiTM sentiasa prihatin dengan keperluan alat peranti untuk setiap pelajar bagi membolehkan mereka belajar dengan selesa.
“Isu pensyarah dan pelajar yang tular berhubung masalah peranti telah selesai namun usaha untuk membantu pelajar memiliki komputer tetap diteruskan.
“Kita juga telah kenal pasti 101,000 pelajar B40 yang layak untuk menerima komputer ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan bubur lambuk kepada 2,000 warga UiTM di sini hari ini.
Mengulas mengenai istiadat konvokesyen UiTM Jun ini, Roziah berkata, pihaknya berharap dapat diadakan secara fizikal memandangkan negara sudah memasuki fasa peralihan endemik. – KOSMO! ONLINE.