SKUAD hoki lelaki negara mendapat ‘lampu hijau’ untuk memasuki Australia bagi menghadapi lima aksi persahabatan antarabangsa menentang pasukan No. 1 dunia itu di Perth bermula 21 hingga 28 April ini.
Ia selepas permohonan semula visa kemasukan ke Australia kesemua 33 pemain negara akhirnya diterima oleh kerajaan negara itu selepas permohonan pertama ditolak sebelum ini.
Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Profesor Datuk Dr. S. Shamala lega kerana isu itu berjaya diselesaikan walaupun pihaknya terpaksa membayar RM1,000 untuk setiap satu permohonan visa baharu.
“Visa pasukan ke Australia sudah selesai petang tadi (kelmarin). Ini adalah satu berita yang sangat bagus buat pasukan sebelum berlepas ke Australia pada Khamis malam ini (malam esok).
“Permohonan pertama ditolak dan kita memohon semula mengikut prosedur baharu mereka. MHC perlu bayar RM1,000 seorang untuk permohonan semula visa dan keseluruhannya RM33,000 kerana kita bawa 33 pemain.
“MHC anggap ia satu pelaburan baik buat pasukan sebagai pendedahan kepada pemain. Ia akan menjadi penanda aras kepada prestasi pasukan selepas lama tidak keluar sejak pandemik Covid-19 dua tahun lalu,” katanya.
Aksi menentang Australia merupakan platform terbaik buat skuad bimbingan Arul Selvaraj menguji kemampuan sebelum menghadapi Piala Asia di Indonesia bermula 23 Mei hingga 1 Jun depan.
Sebagai rekod, MHC meletakkan sasaran separuh akhir kepada Malaysian Tigers pada kejohanan itu untuk meraih tiket automatik ke pentas Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India.