fbpx

Usah bangga tayang aib di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramai yang 'bangga' tidak berpuasa di bulan Ramadan.
WARTAWAN EKSEKUTIF, EDDY HAMIDI

Sedar atau tidak, hari ini telah masuk hari ke-18 umat Islam seluruh negara berpuasa dan dalam tempoh itu, sudah pas­tinya media sosial dipenuhi gambar-gambar atau klip video berbuka puasa, bersahur, solat tarawih dan sebagainya.

Bagaimanapun, sering kali juga terserempak dengan kan­dungan jelik.

Seolah-olah telah menjadi ikutan ramai, platform media sosial kini dipenuhi dengan klip video individu ponteng puasa dan bergelak ketawa apabila menye­dari tindakan mereka makan di siang hari itu dirakam oleh rakan.

Walaupun sering kali kandu­ngan sebegini mengundang kecaman, namun kelihatan seperti semakin ramai yang memuat naik kandungan serupa.

Entah di mana silapnya, media sosial telah menjadi platform segelintir individu yang bangga menayangkan aib sendiri.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, Ramadan bukanlah untuk menahan lapar dan dahaga semata-mata, sebaliknya rebutlah peluang untuk mencari pahala dengan beramal dan mengelakkan perbuatan yang sia-sia.

“Tidak kira aib sendiri atau orang lain, ia sudah jelas merupakan perkara yang tidak boleh didedahkan, malah hukumnya juga berdosa. Jadi mengapa perlu dirakam kemudian disebarkan pula di media sosial.

“Kandungan sebegini tidak perlu diikuti, tidak kiralah sama ada betul-betul berlaku atau sekadar lakonan semata-mata kerana dibimbangi ia akan menjadi kebiasaan dan ditiru oleh golongan anak muda,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambah Abdul Rahman, pihak berwajib juga perlu memberi perhatian kepada perkara tersebut dan mungkin membuat pindaan ke atas undang-undang sedia ada agar tindakan boleh diambil ke atas mereka yang memuat naik kandungan seperti itu.

“Sekalipun tidak mampu berpuasa kerana kerja berat atau ada keuzuran seperti sakit dan sebagainya, tidak perlu dirakam dan ditayangkan kepada umum seolah-olah berbangga dengan perbuatan itu. Hormatilah bulan Ramadan yang mulia ini,” ujar beliau.

Sementara itu, pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, sebagai ahli masyarakat, seseorang itu perlu mematuhi atau menghormati peraturan norma yang diterima pakai oleh masyarakat.

“Tidak perlu kejar populariti dengan menjadi orang terawal meuar-uarkan perkara yang bertentangan dengan nilai dan norma masyarakat, lebih-lebih lagi seperti isu ini yang jelas bertentangan dengan agama (tidak berpuasa dan membuka aib).

“Lebih dibimbangi, sesuatu perkara yang jika dilakukan secara berterusan akan dianggap sebagai betul dan ketika itu masyarakat akan mengiyakannya.

“Kita pastinya tidak mahu perbuatan tidak berpuasa itu sebagai perkara yang biasa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak menghukum sesuatu isu berbangkit itu secara pukul rata tanpa mengetahui perkara sebenarnya.

“Kita tidak tahu sekiranya individu yang dirakam itu mempunyai sakit atau pekerjaan yang berat sehingga dia tidak boleh berpuasa dan telah dirakam oleh rakan tanpa pengetahuannya, jadi tidak perlulah mengecam, sekali gus mengaibkannya.

“Apabila kita buka aib orang, ia akan menimbulkan ketidaktenteraman atau konflik sosial, malah keharmonian juga terjejas kerana tidak tahu perkara sebenar. Jadi paling baik, tidak perlu rakam atau sebarkan kerana tiada sebab untuk buat begitu,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI