fbpx

Tahanan Rohingya lari tanpa arah tujuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian etnik Rohingya yang meloloskan diri dari depoh tahanan ditahan di KM 168 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Nibong Tebal, Seberang Perai pada Rabu lalu.

GEORGE TOWN – Sekumpulan warga asing etnik Rohingya yang ditahan di negeri ini selepas meloloskan diri dari Depoh Tahanan Sementara Sungai Bakap di Relau, Bandar Baharu Kedah awal pagi tadi dipercayai lari tanpa arah tujuan.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, mereka telah berjalan kaki dari depoh tahanan berkenaan sejauh kira-kira 10 kilometer sebelum ditahan di Kilometer (KM) 168 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Nibong Tebal pagi tadi.

Menurutnya, kumpulan itu juga didapati bergerak tanpa arah tujuan dan hanya mengikut pergerakan ahli kumpulan yang lain selepas menceroboh lebuh raya.

“Apa yang diperhatikan mereka bergerak menuju ke arah selatan, tetapi tidak pasti ke mana lokasi tujuan mereka.

“Sebab itu kita turut meminta kerjasama daripada polis kontinjen Perak untuk mengesan saki baki tahanan ini yang masih bebas kerana terdapat sebahagiannya terlepas masuk ke dalam hutan,” katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan enam daripada mereka termasuk dua kanak-kanak maut selepas dirempuh kereta jenis Toyota Vios ketika mahu melintas jalan di KM 165 kira-kira pukul 6.50 pagi.

Kumpulan yang terdiri daripada 229 orang itu kemudiannya menukar arah dengan menyelusuri laluan di tepi lebuh raya ke arah selatan sebelum ditahan polis.

Mereka merupakan sebahagian daripada 528 tahanan yang meloloskan diri dari depoh berkenaan yang menempatkan 663 tahanan dalam kejadian rusuhan kecil kira-kira pukul 4.30 pagi.

Sementara itu, Menurut Mohd. Shuhaily lagi, kesemua tahanan itu sedang menunggu tempoh untuk dihantar pulang ke negara asal dan polis yakin mereka tidak akan bertindak agresif.

“Dalam tempoh kejadian yang sudah melebihi 12 jam, tahanan yang masih bebas dipercayai semakin keletihan dan berkemungkinan akan mendapatkan bantuan daripada orang awam.

“Jadi kita meminta kerjasama orang ramai sekiranya terserempak dengan tahanan ini supaya memujuk mereka menyerah diri atau jika tidak berani mendekati mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu tambahnya, polis Pulau Pinang turut mengadakan tiga sekatan jalan raya bagi mengesan tahanan yang masih bebas iaitu masing-masing di Jalan Sungai Baung di Sungai Bakap, Jalan Tasek Valdor di Simpang Empat dan Jalan Kerian-Kedah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI