JURULATIH Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora berasa amat teruja setelah pasukannya mencipta kejayaan luar biasa menundukkan kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC 2-1 pada aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam kelmarin.
Mora berkata, keputusan seperti itu ketika berdepan kelab gergasi Asia dalam saingan ACL bukanlah sukar dicapai sekiranya pemain menunjukkan kesungguhan di atas padang dan bermati-matian membuktikan keupayaan mereka sepanjang perlawanan.
Walaupun JDT hanya kelab kerdil di peta Asia, Mora memberitahu, status itu membuatkan pasukan lebih berkobar-kobar dan bersemangat tinggi untuk cuba menyaingi pasukan lawan yang lebih ternama bagi meraih kemenangan.
“Saya terangkan kepada pemain, walaupun kita bukan setaraf pasukan lawan, itu tidak bermakna kita tidak boleh melakukan ‘high pressing’ dan berikan tentangan kerana kita juga mempunyai pemain berkualiti yang mampu menyaingi mereka.
“Kualiti yang ada pada Bergson Da Silva mampu untuk sertai mana-mana kelab Eropah ketika ini dan Fernando Forestieri juga ada pengalaman beraksi di Eropah. Akhirnya, usaha kami membuahkan hasil dengan berjaya memperoleh gol awal.
“Ada masanya jaringan gol awal akan beri tekanan buat kami untuk pertahankan kedudukan, namun pada masa sama suntik semangat pemain. Bagaimanapun, pemain sudah melakukan yang terbaik walaupun ada ketika sukar mengekalkan taktik permainan diterapkan,” katanya pada sidang akhbar kelmarin.
Kemenangan menewaskan bekas juara ACL musim 2020 itu berjaya meletakkan JDT di kedudukan pertama Kumpulan I selepas mengutip enam mata menerusi dua perlawanan.
Mora turut memberikan pujian kepada pemain gantian yang dibawa masuk kerana mampu memikul tugas dengan baik tanpa menjejaskan rentak permainan dan memberikan aksi terbaik pada tahap tinggi.
“Ini adalah pentas untuk mengukur kemampuan pasukan apabila berentap dengan kelab gergasi Asia. Sebagai pasukan kerdil, JDT perlu lebih bertenaga, bersemangat serta memiliki kekuatan mental untuk bersaing dengan pasukan terbaik seterusnya meraih kemenangan,” katanya.
Dalam pada itu, Bergson yang meledak gol kemenangan JDT pada perlawanan itu berkata, kejayaan mengutip tiga mata adalah usaha kolektif pasukan yang sanggup berusaha keras demi kelab dicintai.
“Kejayaan pada kali ini adalah hasil permainan kami secara berpasukan.
“Usaha keras rakan sepasukan mengubah mentaliti saya untuk berusaha lebih keras dan membuktikan Bergson yang ada hari ini adalah versi lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.
Bergson berjaya meledak empat gol dalam dua perlawanan, satu peningkatan drastik berbanding tiada jaringan pada saingan ACL musim lalu.