fbpx

Satu emas sasaran basikal lebuh raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JURULATIH skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan, Datuk Ng Joo Ngan yakin pelumba negara mampu membawa pulang emas Sukan SEA di Hanoi, Vietnam bermula 12 hingga 23 Mei depan.

Legenda berbasikal negara itu percaya kombinasi kali ini mampu menceriakan kem Malaysia dan menebus kekecewaan gagal membawa pulang sebarang pi­ngat Sukan SEA di Manila.

“Sudah lama saya tidak bersama dengan pasukan kebangsaan. Saya perlu berhati-hati untuk mengatur strategi yang berkesan buat skuad negara pada Sukan SEA di Vietnam nanti.

“Secara peribadi, kami ada skuad yang kuat dengan kombinasi pasukan profesional Sapura dan TSG. Kali ini juga tidak akan berlaku lagi masalah seperti yang terjadi pada Sukan SEA 2019.

“Kami perlu membawa pulang semula pingat emas kepada Malaysia pada Sukan SEA kali ini,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Difahamkan, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meletakkan sasaran satu pingat emas untuk acara kriterium lelaki dan dua kejayaan podium bagi kategori ujian masa lelaki dan berpasukan wanita.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas berbasikal lebuh raya Sukan SEA adalah melalui Mohamed Harrif Salleh dalam acara kriterium dan ujian masa berpa­sukan lelaki sewaktu edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Selain Harrif yang bakal menjadi sandaran pasukan lelaki, Nur Aisyah Mohd. Zubir pula antara pelumba harapan untuk meraih sesuatu buat skuad berbasikal lebuh raya wanita di Hanoi nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN