LONDON – Satu kaji selidik yang dilakukan oleh agensi pekerjaan di Britain mendapati sembilan daripada 10 pekerja mahu majikan membenarkan mereka bekerja dari rumah bagi menjimatkan kos disebabkan kenaikan mendadak harga bahan api khususnya petrol, lapor portal berita MailOnline.
Kaji selidik itu dilakukan oleh agensi pekerjaan Randstad dan melibatkan seramai 3,000 pekerja.
Ketua Pegawai Eksekutif Randstad, Victoria Short berkata, pengumuman menteri kanan, Rishi Sunak baru-baru ini berhubung potongan cukai petrol masih gagal menurunkan harga bahan api tersebut.
“Peningkatan harga minyak memberi tekanan lebih besar terhadap pekerja di Ireland Utara dan Wales berbanding mereka yang tinggal di London.
“Penduduk London mempunyai banyak pilihan pengangkutan awam yang disubsidi oleh kerajaan. Keadaan sebaliknya pula berlaku di tempat-tempat lain di Britain,” kata Short.
Tambahnya, penumpang kereta api pula berdepan tempoh paling sukar apabila banyak jadual perjalanan terpaksa dibatalkan disebabkan penyedia perkhidmatan berdepan masalah kekurangan pekerja. Justeru, sistem kereta api kini bukan satu pilihan yang boleh diharapkan.
“Sekiranya kerajaan mahu menggalakkan rakyat kembali ke pejabat, kerajaan mesti mempertimbangkan untuk memansuhkan cukai nilai tambah (VAT) bagi petrol dan diesel,” ujar Short.
Sebanyak 86 peratus responden kaji selidik itu berkata mereka lebih banyak membelanjakan wang untuk membayar kos tenaga dan bahan api termasuk peningkatan dalam caj jalur lebar.
Bagaimanapun, keadaan itu dapat diimbangi dengan menerusi bekerja dari rumah yang dapat menjimatkan perbelanjaan petrol, makanan, parkir dan kos pengangkutan awam. – AGENSI