IPOH – Sebanyak 54 sekatan jalan raya (SJR) menerusi Op Tutup diadakan bagi menjejaki saki baki tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang, pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, SJR itu dijalankan di jalan Persekutuan seluruh negeri dan Lebuh Raya Utara-Selatan dengan kekuatan 243 anggota.
Katanya, tumpuan juga diberikan di daerah bersempadanan Pulau Pinang dan Kedah yang merupakan titik panas iaitu Kerian, Selama dan Taiping.
“Kita sudah laksanakan Op Tutup sejak awal pagi tadi selepas menerima maklumat daripada Kontinjen Pulau Pinang dan Kedah. Setakat ini belum ada laporan membabitkan tangkapan di Perak,” katanya di sini hari ini.
Pemantauan dan rondaan juga akan diadakan di lokasi berisiko untuk tahanan menyembunyikan diri seperti masuk ke kawasan kampung.- KOSMO! ONLINE