PETALING JAYA – Program Infaq Ramadan 2022 anjuran Perdana Kuala Lumpur City Centre (Perdana KLCC) agak berbeza kali ini apabila kunjungan 22 anak-anak yatim dari Pusat Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman, Kuala Lumpur menceriakan lagi majlis berbuka puasa di hotel berkenaan baru-baru ini.
Pengurus Hotel, Zakaria Ismail berkata, berbanding sebelum ini kerana pandemik Covid-19, pihaknya telah menghantar sumbangan makanan kepada penghuni rumah kebajikan, rumah anak-anak yatim atau rumah orang-orang tua yang terpilih.
“Namun kali ini, kami menjemput mereka berbuka puasa bersama di hotel bagi menikmati bufet yang disediakan di restoran berwajah baharu, Binjai 10,” katanya baru-baru ini.
Zakaria menjelaskan, misi utama program Infaq Ramadan 2022 adalah untuk mengumpulkan dana melalui sumbangan ikhlas daripada orang ramai.
Melalui tajaan bernilai RM80 seorang, pihak Perdana KLCC akan menaja lokasi berbuka puasa kepada kumpulan yang memerlukan.
Tambah beliau, menerusi inisiatif tersebut, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan dan tajaan masing-masing kepada pihak hotel selain dapat melaksanakan amal jariah dalam bulan yang penuh berkat ini.
“Infaq Ramadan adalah kesinambungan program Infaq Covid-19 yang telah dijalankan sejak Februari 2021 dan kami mendapati sambutannya amat positif. Bagaimanapun, pihak hotel masih mengalu-alukan sumbangan ikhlas daripada orang ramai dalam meneruskan usaha murni ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE