PETALING JAYA- Penyedia barangan runcit, MR. D.I.Y. melancarkan semula kempen Mega Cashback bagi membolehkan orang ramai menikmati penjimatan berganda khususnya ketika membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
Ketua Pemasaran Kumpulan MR. D.I.Y., Alex Goh berkata, kempen Mega Cashback yang pertama diadakan pada Februari lalu di mana pelanggan memanfaatkan peluang menikmati nilai hebat di setiap cawangan.
“Disebabkan sambutan hebat, kami membuat keputusan untuk membawa kembali kempen itu dengan tawaran menarik bagi membantu rakyat Malaysia menikmati lebih penjimatan dan manfaat ketika membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Memandangkan rakyat Malaysia akan mendapatkan barangan keperluan harian, produk perayaan, hadiah serta buah tangan, ternyata ini merupakan masa paling sesuai untuk kami memberi lebih ganjaran kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, kempen Mega Cashback akan dijalankan serentak dengan kempen ‘Raya Serba Baharu’ yang turut sama menawarkan penjimatan berganda.
“Menerusi kempen itu, rakyat Malaysia boleh mendapatkan lebih daripada 200 barangan keperluan Aidilfitri termasuk langsir, sarung kusyen, serta barangan perhiasan rumah dan kelengkapan dapur,” ujarnya.
Pada masa sama, MR. D.I.Y. turut bekerjasama dengan enam penyedia perkhidmatan kewangan bagi penawaran pulangan tunai dan diskaun di semua cawangan milik mereka.
Enam penyedia perkhidmatan tersebut adalah lima penyedia e-dompet iaitu Boost, Grabpay, MAE oleh Maybank, Shopeepay selain Touch‘n Go eWallet dan Bank HSBC.
Promosi itu berlangsung dari 1 April hingga 31 Mei 2022. -KOSMO! ONLINE