PETALING JAYA – Semalam, tular beberapa video memaparkan suasana kecoh orang ramai di Garden Arena, Rawang apabila seorang lelaki mengamuk selepas mendapati isterinya terjatuh dan dipijak.
Menerusi perkongsian beberapa pengguna di media sosial, dapat disaksikan pengunjung yang hadir berpusu-pusu berlari ke tengah padang apabila pintu dibuka temasuklah lelaki tersebut dan isterinya yang sedang hamil.
Difahamkan, terdapat satu program anjuran YouTuber terkenal di lokasi dengan menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 bagi sesiapa yang ingin ikut serta acara dipertandingkan.
Melihat pada rakaman tersebut, wanita terbabit secara tidak sengaja terjatuh gara-gara terlanggar kaki meja yang terbalik di sebelah pintu padang menyebabkan dia tersungkur ke atas padang.
Apabila kejadian tersebut disedari suaminya, lelaki berkenaan mula marah sekali gus menjerit sambil mencari pelaku yang melanggar serta memijak isterinya.
Namun, kekecohan itu dapat diredakan oleh orang ramai yang hadir serta pihak penganjur program tersebut, manakala lelaki berkenaan sempat memberi amaran kepada orang sekeliling sekiranya berlaku sesuatu kepada isteri dan juga kandungannya.
Bagaimanapun, menjengah ke ruangan komen, ramai kurang bersetuju dengan tindakan lelaki tersebut mengamuk seolah-olah menyalahkan sepenuhnya kepada orang ramai terhadap kejadian yang berlaku.
“Bini dia langgar meja, orang lain disalahkan, dah tahu bini mengandung, tinggalkan dekat rumah, bukan sibuk bawa tempat sesak orang ramai, lepas itu mengamuk tak tentu arah,” ujar Syariff.
“Apa punya program la, dah la tak ada penjarakan, SOP ‘kelaut’, patutnya saman penganjur program sebab tak urus pergerakan pengunjung dengan betul, buat apa itu pula, lain kali pegang tangan bini, bukan sibuk kau berlari dulu, ada emas terabur ke dekat padang,” komen Afiq.
“Dah tahu ramai orang sibuk berebut lari, yang ikut kenapa, bila dah jatuh, salahkan orang,” kata Man. – KOSMO! ONLINE