PETALING JAYA- Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta untuk mengambil alih tugasan pengawalan di depot milik Jabatan Imigresen bagi mengelakkan insiden tahanan lari daripada terus berulang.
Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia, Leftenan Kolonel Che Hassan Che Johan berkata, saranan mengambil alih tugas itu dibuat susulan kejadian 700 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya meloloskan diri dari depot tahanan.
“Sudah sampai masanya tugas penguatkuasa depot Jabatan Imigresen diambil alih oleh Jabatan Penjara dan PDRM. Sudah berapa kali kejadian tahanan meloloskan diri.
“Kali ini seramai 700 orang meloloskan diri, sedarkan kementerian berkaitan bahawa isu itu tidak ada kesudahannya. Jangan fikir untuk menjaga kroni projek sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, tindakan segera perlu diambil pihak terlibat memandangkan PATI terbabit datang daripada pelbagai negara dan latar belakang seterusnya berupaya memberi ancaman kepada rakyat Malaysia.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kira-kira 527 tahanan warga asing di Depot Sementara Imigresen Sungai Bakap, Nibong Tebal di Pulau Pinang dipercayai melarikan diri hari ini.
Difahamkan tahanan terbabit meloloskan diri dari depot berkenaan dalam rusuhan kecil kira-kira 4.20 pagi.
Bagaimanapun, kira-kira 100 tahanan dikatakan berjaya ditahan berdekatan Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Nibong Tebal setakat ini. -KOSMO! ONLINE