LONDON – Legenda Formula Satu (F1), Marc Surer merasakan bahawa Lewis Hamilton seorang pemandu yang ‘manja’ selepas bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera Mercedes W13.
Surer menegaskan, pemandu Britain itu terlalu lama berada dalam zon selesa dengan memacu jentera yang dominan sebelum ini hingga tidak mampu untuk menyesuaikan diri dengan cepat bersama jentera baharu tersebut.
Selepas tiga pusingan perlumbaan ketika ini, Hamilton hanya mampu meraih podium tempat ketiga di Grand Prix (GP) Bahrain 2022, manakala, dua perlumbaan lain hanya sekadar berada di posisi ke-10 GP Arab Saudi dan keempat di Australia.
Sementara itu, rakan sepasukannya, George Russell menampilkan aksi cukup positif selepas menaiki podium tempat ketiga di GP Australia dan kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 37 mata.
Hamilton berada di tangga kelima keseluruhan dengan 28 mata dan dipisahkan sembilan mata dengan Russell, sementara pelumba Ferrari, Charles Leclerc mendominasi saingan dengan 71 mata.
“Russell sudah biasa memandu dengan laju meskipun diberikan jentera yang teruk sebelum ini. Hamilton tidak boleh melakukan seperti itu kerana dia selalu memandu jentera yang sempurna beberapa musim lalu dan menjadi terlalu ‘manja’.
“Saya rasa, dia (Hamilton) akan berdepan tugas sukar untuk menentang Russell terutama dalam sesi kelayakan. Tetapi, Hamilton tidak berputus asa dan akan melakukan terbaik,” kata Surer yang beraksi di F1 dari 1979 hingga 1986.
Perlumbaan pusingan keempat F1 akan berlangsung di Grand Prix (GP) Emilia Romagna di Litar Imola minggu depan. – AGENSI