TERKENAL dengan sifatnya yang lemah lembut, penyanyi Aurel Hermansyah tidak terasa hati atau marah selepas menjadi mangsa buli oleh netizen yang telah menghina bentuk tubuhnya.
Selepas melahirkan cahaya mata sulung pada Februari lalu, Aurel mengakui mengalami perubahan bentuk badan apabila kelihatan lebih berisi.
Gara-gara itu, isteri kepada Atta Halilintar itu telah menjadi sasaran netizen apabila dihina dan dibandingkan dengan bentuk tubuh pelakon, Paula Verhoeven yang jauh lebih langsing walaupun selepas melahirkan cahaya mata.
Ujar Aurel, dia tidak kisah dan tenang berdepan isu tersebut kerana enggan memeningkan kepalanya.
“Saya tidak kisah dan tidak mahu ambil tahu. Saya manusia yang diciptakan oleh Tuhan. Jadi saya harus menerima apa yang telah dikurniakan,” katanya.
Atta bagaimanapun tidak dapat menerima hakikat apabila fizikal isterinya dihina dan telah membuat laporan polis atas perbuatan tersebut.