LONDON – Sekumpulan saintis membangunkan sebuah aplikasi telefon pintar yang boleh mengesan sama ada seseorang itu telah dijangkiti virus Covid-19, lapor portal berita MailOnline semalam.
Aplikasi dinamakan ResApp itu menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) untuk menganalisis bunyi batuk seseorang. Aplikasi itu dikatakan mempunyai ketepatan sebanyak 92 peratus.
“Skala besar bagi pandemik global ini bermaksud kita memerlukan lebih banyak alat diagnosis yang boleh mengimbangi kebergantungan kepada ujian antigen pantas dan tindak balas rantaian polimerase transkripsi balikan (PCR).
“Penggunaan ResApp secara meluas dapat mengurangkan keperluan ujian saringan antigen pantas dan PCR.
“Dalam masa sama, kita masih mengekalkan kawalan penyakit yang diperlukan untuk menguruskan impak Covid-19,” kata ahli Lembaga Penasihat Saintifik Covid-19 ResApp, Profesor Catherine Bennett.
Ujian bagi menilai keberkesanan aplikasi tersebut telah dijalankan terhadap 741 individu di Amerika Syarikat dan India, termasuk 446 yang dijangkiti Covid-19.
Responden dikehendaki melengkapkan kaji selidik mengenai gejala yang dialami sebelum diminta untuk batuk pada telefon pintar yang mempunyai aplikasi ResApp.
Keputusannya mendapati bahawa aplikasi itu dapat mengesan virus Covid-19 dengan tepat dalam kalangan 92 peratus pesakit yang dijangkiti.
Syarikat yang membangunkan aplikasi itu berkata, ResApp akan mula digunakan di sektor-sektor yang paling kerap memerlukan ujian saringan Covid-19 dilakukan termasuk perjalanan, sukan, hiburan dan penjagaan kesihatan. – AGENSI