PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka dan Sabah ekoran jangkaan cuaca buruk pagi ini.
Menurut laporan yang dikeluarkan MetMalaysia, keadaan tersebut dijangka berterusan sehingga pukul 10 pagi hari ini.
Katanya, hujan lebat, ribut petir serta angin kencang diramal melanda beberapa kawasan di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.
Selain itu, di Terengganu pula, ia tertumpu sekitar Besut dan Setiu.
“Bagi negeri Selangor, keadaan yang sama dilaporkan berlaku di Sabak Bernam dan Kuala Selangor serta keseluruhan Melaka pagi ini.
“Manakala amaran cuaca buruk itu turut merangkumi kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Kudat) bagi tempoh yang sama,” katanya di sini hari ini.
Jelas kenyataan tersebut, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE