BANDAR BAHARU – Etnik Rohingya yang masih lolos selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di sini awal pagi tadi disifatkan sebagai berbahaya kerana mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan diri.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kumpulan itu dikhuatiri akan menceroboh rumah penduduk serta melakukan tindakan luar jangka kerana lapar atau mahu bersembunyi.
“Kita khuatir kemungkinan akan wujud elemen jenayah yang dilakukan golongan ini seperti menceroboh atau mencuri di rumah penduduk.
“Tidak mustahil tahanan ini akan bertindak luar kawalan untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian dan tidak menolak wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka sehingga tercetus rusuhan.
“Elemen tidak puas hati ini berdasarkan kepada siasatan awal dan kita akan mencari punca sebenar kejadian.
Sementara itu, beliau berkata, siasatan mendapati, ketika kejadian terdapat seramai 23 anggota imigresen bertugas di depot berkenaan.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan hanya berlaku sedikit kerosakan kecil di pintu utama dan pagar,” katanya.
Ujarnya, jumlah tahanan yang ramai dengan kawasan agak sempit menjadikan keadaan tidak terkawal dan membuka peluang kepada tahanan untuk melarikan diri.
Katanya, mereka yang masih bebas itu kebanyakannya berkaki ayam dan agak mudah untuk dikenal pasti berdasarkan cara pemakaian mereka.-KOSMO! ONLINE