KLUANG – Jabatan Penjara Malaysia Kluang sedang mengesan waris kepada seorang banduan dikenali sebagai Ismail Atan yang meninggal dunia pada Sabtu lalu.
Menurut satu kenyataan, Ismail, 67, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom pada pukul 1.23 petang.
“Mohon hebahan untuk mendapatkan waris banduan bernama Ismail Atan yang mempunyai nombor kad pengenalan 551221-01-6411.
“Arwah merupakan rakyat tempatan dan alamat terakhirnya di TNB 10/2 Kampung Nelayan Bentang Laut, Jalan Abdul Rahman Parit Jawa, Muar, Johor.
“Difahamkan arwah mempunyai waris iaitu kakak kandung yang dikenali sebagai Salmah Atan dan usaha mengesannya di alamat tertera gagal kerana alamat berkenaan tidak wujud.
“Oleh itu, kami memohon jasa baik mereka yang mengenali arwah atau keluarganya supaya tampil bagi proses pengurusan jenazah secepat mungkin,” katanya.
Ujarnya lagi, arwah menerima hukuman penjara pada 3 Mac lalu dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai waris diminta berhubung dengan Penjara Kluang di talian 07-7875200. -KOSMO! ONLINE