MONTE CARLO – Pemain No. 5 dunia, Stefanos Tsitsipas menepati ramalan apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Terbuka Monte Carlo selepas menewaskan pemain muda dari Sepanyol, Alejandro Davidovich Fokina di pentas final awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Tsitsipas yang dianggap sebagai salah seorang ‘pakar’ gelanggang tanah liat tidak mempunyai masalah untuk mengetepikan cabaran dengan meraih keputusan straight-set 6-3, 7-6 untuk menjulang trofi pertama musim ini.
Fokina yang menduduki ranking ke-46 sebelum ini mencipta kejutan dengan menewaskan pemain No.1 dunia, Novak Djokovic pada laluannya sebelum ke pentas final dilihat gagal memberikan saingan yang diharapkan.
Tsitsipas berkata, kemenangan yang diraih itu sudah tentu menaikkan motivasi untuk menampilkan rentak lebih konsisten pada saingan tenis antarabangsa yang kini memasuki ‘musim’ gelanggang tanah liat yang akan berakhir pada kejohanan bertaraf Grand Slam, Terbuka Perancis nanti.
“Saya sangat berbangga dengan prestasi peribadi pada kejohanan kali ini kerana apabila status anda sebagai juara bertahan, tekanannya agak berbeza dan pujian juga wajar diberikan kepada Fofina yang memberikan saingan cukup sengit khususnya pada set kedua.
“Apa yang pasti, kejuaraan ini menambahkan lagi semangat untuk saya berikan yang terbaik pada kejohanan-kejohanan bertaraf Masters yang akan diharungi akan datang seperti Terbuka Rom, Terbuka Madrid.
“Kemudian, sudah tentu saya mahu memberikan tumpuan penuh pada saingan Terbuka Perancis yang mana sasaran kali ini sudah tentu mahu bergelar juara selepas sekadar berpuas hati apabila menjadi finalis tahun lalu,” kata atlet kelahiran Greece itu. – AGENSI