PETALING JAYA – Setiap kali menjelangnya Aidilfitri pastinya orang ramai mahu mencari fabrik terbaik bagi digayakan pada hari istimewa memandangkan sambutannya hanya setahun sekali.
Seperti kebiasaan, pelbagai jenis pilihan kain seperti satin, chiffon, kapas dan banyak lagi akan menjadi pilihan orang ramai mengikut kepada minat dan citarasa masing-masing.
Berbeza pada tahun ini, pilihan kain jenis Italian Crepe dilihat mendominasi pasaran apabila ramai peniaga khususnya di bazar Aidilfitri menawarkan pakaian berasaskan fabrik itu dengan penghasilan aneka jenis gaya seperti kebaya dan kurung.
Malah menerusi tinjauan Kosmo! di beberapa bazar Aidilfitri termasuk di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) turut mendapati ramai peniaga menjual pakaian berasaskan kain itu ekoran dikatakan kurang panas serta lebih selesa.
“Tahun ini memang banyak pakaian berasaskan kain Italian Crepe, kain ini selesa dan kurang panas. Sesuai dipakai ketika Aidilfitri,” kata seorang peniaga dikenali sebagai Alia Zainudin.
Sementara itu, rata-rata netizen turut memberi reaksi berbeza terhadap trend kain itu dengan menyifatkan ramai orang bakal menggayakan jenis kain yang sama pada Aidilfitri nanti.
“Kalau beli nanti, mesti boria ramai-ramai,” kata Azhrul Omar.
“Tidak mengapa, saya sudah ada baju raya yang tidak perlu gosok, murah dan paling penting orang belanja,” ujar Zaira Aridanz.
“Saya jual baju ini, memang laku, lebih-lebih lagi warna hitam,” jelas Tengku Roseelyza. -KOSMO! ONLINE