PETALING JAYA – Kejadian tragis yang menimpa seorang remaja sindrom Down bernama Bella yang dipercayai menjadi mangsa dera sehingga mengalami kecederaan melampau meruntun hati ramai rakyat Malaysia, termasuklah barisan selebriti.
Perkara sama turut mendapat perhatian penyanyi Naqiu apabila mengakui fikiran dan hatinya terganggu sehingga sukar melelapkan mata tatkala memikirkan tentang Bella.
Hal ini kerana ujar penyanyi kumpulan Boboy itu, dia juga mempunyai seorang cahaya mata istimewa iaitu anak keempatnya, Wan Alexander Putra yang dilahirkan mempunya masalah autisme.
“Allahuakbar sampai menangis tengok semua video dan gambar adik Bella. Sakitnya anak syurga ini didera sebegitu, dahsyatnya derita yang dia tanggung.
“Saya terbayangkan kalau anak saya yang diperlakukan macam itu. Kalaulah Alex yang kena curah air panas, makan tahi, ayam busuk, nasi campur cuka, kena sebat, dipijak dan macam-macam lagi berbulan lamanya. Allah.
“Mana pergi hati dan perasaan si pelaku? Takkan tak ada sekelumit rasa kasihan pada budak itu. Kita orang Islam, jauh mana kita tersasar, asas itu tetap ada. Tapi mana pergi asas si pelaku?” tulisnya dalam satu hantaran Instagram.
Tambah Naqiu, 36, sebagai ayah kepada seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU), dia sangat sensitif dan beremosi apabila mengikuti perkembangan kes Bella.
“Tak tahu nak cakap dan bantu macam mana. Mungkin dengan perkongsian ini, dapat buka mata pengikut saya untuk sama-sama berjuang #JusticeForBella. Itu saja saya mampu.
“Kita lawan habis-habisan untuk pastikan si pelaku dikenakan hukuman setimpal. Jangan ada tangan ghaib yang menidakkan keadilan buat adik Bella. Harap satu hari nanti saya boleh jumpa adik Bella dan peluk dia kuat.
“Moga dia lupa mengenai semua kesengsaraan dan kesakitan yang pernah dia tanggung,” ujarnya lagi.
Sementara itu, bercakap mengenai anak keempatnya yang dilahirkan autisme, Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd. Najib mengakui menjadi dugaan besar buat dia dan keluarga.
Pun begitu sebagai bapa kata Naqiu, dia sekalipun tidak pernah mengeluh dikurniakan seorang anak istimewa kerana sedar Alex akan memberi jaminan laluan mudah ke syurga buatnya dan keluarga.
“Alex dilahirkan tak sempurna macam anak-anak saya yang lain. Dia autism dan selalu tantrum sampai susah nak kawal. Mengamuk tiba-tiba, baling barang dan cederakan diri sendiri.
“Memang satu dugaan besar buat saya sekeluarga tapi sebagai papa, saya tak pernah sekalipun mengelug kerana itu semua sudah tertulis.
“Tapi alhamdulillah semua adik-beradik dia dan keluarga menerima Alex dengan hati terbuka. Saya sayang Alex lebih dari yang lain kerana dia tak sempurna. Setiap hari saya berfikir apa nasib Alex bila nanti saya tiada,” katanya.
Untuk info, Naqiu mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Hani pada 2011 dan dikurniakan lima orang cahaya mata, Wan Ratna Putri, 10, Wan Daniel Iman, 9, Wan Alexander Putra, 8, Wan Esyana Alicia, 7, dan Wan Danish Aydin, 4. – KOSMO! ONLINE