PETALING JAYA – Tular beberapa rakaman menunjukkan sekumpulan lelaki bertindak mengganggu ketenteraman awam dengan melakukan beberapa kesalahan seolah-olah seperti samseng jalanan.
Perkongsian oleh seorang pengguna laman Facebook, Navinder Singh baru-baru ini memaparkan tindakan berani mereka berbaring di tengah jalan raya sewaktu kenderaan sedang lalu lalang.
Mereka seperti langsung tidak endah akan bahaya menanti, sebaliknya berasa seronok dan puas dengan perbuatan masing-masing sehingga ada yang berguling-guling di atas jalan raya terbabit.
Lebih menaikkan kemarahan orang ramai, apabila sebuah video lain memperlihatkan salah seorang daripada remaja tersebut dengan lagaknya melastik sebuah kereta yang sedang melalui kawasan berkenaan sambil menunggu di bahagian tepi jalan.
Sementara itu, rakan-rakannya yang lain akan bersorak sesama mereka apabila sasaran remaja itu tepat mengena pada kereta itu atau kenderaan lain yang lalu lalang.
Rentetan daripada video yang dikongsikan, orang ramai meluahkan rasa geram akan sikap sekumpulan remaja berkenaan yang dianggap keterlaluan.
“Ini bukan kira nakal lagi, dah jahat namanya, sebab sampai memudaratkan orang lain, buatnya lah kereta-kereta tu terbabas seperti nak elak batu atau mereka yang baring atas jalan sehingga kemalangan dan kematian.
“Selamatkan lah mereka ini cepat dan bertindak mengikut undang-undang, sekali ibu bapa mereka ini sebab membiarkan anak-anak,” komen Afida Suzani.
Seorang lagi pengguna turut berpesan agar ibu bapa perlu memantau segala pergerakan anak-anak sama ada pada waktu siang atau malam serta berharap agar pihak berkuasa dapat mengesan sekumpulan remaja tersebut untuk tindakan lanjut.
“Malam keluar buat perkara yang menyusahkan, ke masih ada yang bawah umur mereka ini?, mana ibu bapa remaja terbabit, tolong la sentiasa pantau pergerakan anak-anak, ambil tahu apa mereka buat di luar tak kira masa.
“Pihak berkuasa terlibat, tolong segera jalankan pemeriksaan terhadap kejadian ini, dah tular pun di media sosial, mungkin boleh bantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE