fbpx

[VIDEO] Saya tertonggeng, tahan tangisan depan anak, netizen tak tolong – Shuib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHUIB tidak dapat menahan sebak sewaktu bercerita tentang Ramadan dan Syawal tanpa Sarah.

PETALING JAYA –  Ramadan dan persediaan Syawal buat pertama kali tanpa kelibat isteri bukan satu perkara mudah buat pelawak juga usahawan berjaya, Shuib.

Nampak tenang saat dikerumun media bercakap tentang perjalanan Ramadan dan persiapan menyambut ketibaan Aidilfitri tahun ini, bapa tunggal kepada empat cahaya mata itu tidak dapat menahan sebak. Air matanya bukan setakat berlinangan bahkan bercucuran jatuh disaksikan semua orang.

Sembilan bulan selepas kehilangan isteri tersayang, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, kata Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, dia tidak kisah andai orang ramai terus mengkritik dirinya masih berduka dengan semangat hidup yang belum ‘pulih’ sepenuhnya.

“Saya tak kisah pun orang nak cakap apa. Banyak benda yang saya dah lalui. Bermacam-macam. Selagi kita berpegang dengan apa yang kita tahu dan apa kita rasa, kita jalan sahajalah.

“Sebab yang merasakan adalah kita. Sembilan bulan, rasa macam semalam baru berlaku.

“Kalau nak fikirkan sangat pasal orang, nak buat apa pun saya tak boleh. Saya tertonggeng di rumah, tahan menangis di depan anak-anak, netizen tak datang rumah ketuk pintu beri pertolongan.

“Mereka hanya boleh beri sokongan di media sosial tapi realitinya, tiada siapa tawar nak buat kaunseling percuma buat saya,” ujarnya.

Shuib, 38, ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim anjuran Indigital Music di Hotel Royal Kuala Lumpur, malam tadi.

Tidak mahu bersikap pentingkan diri sendiri, Shuib bagaimanapun menegaskan bahawa kehidupan harus diteruskan demi anak-anak iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan.

“Tipulah kalau saya cakap (semua yang sedang berlaku) senang. Puasa dan raya tanpa dia. Tapi, nak tak nak, kita kena lalui.

“Saya percaya, ada benda baik akan berlaku pada masa hadapan. Cuma nak lalui fasa ke arah itu mungkin agak berat sedikit. Sedih memang sedih.

“Hari pertama puasa, semua keluarga rapat datang rumah berbuka sama. Dalam pada nak tunggu waktu berbuka itu, saya perasan sebelah kiri saya, meja empat segi, memang tempat Sarah pun, ada satu pinggan kosong tapi berisi nasi.

“Abang ipar tanya, ‘nasi untuk siapa?’. Saya jawab tak tahu dan semua pun berpandangan antara satu sama lain. Dalam hati saya, nasi ada tapi kerusi itu (yang kebiasaannya jadi tempat Sarah duduk) kosong,” jelas Shuib.

Tabah berpegang kepada prinsip kehidupan harus diteruskan, pelantun lagu Sampai Tua itu memberitahu, buat masa sekarang, tidak banyak persiapan menyambut hari lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Belum ada persediaan. Belum bincang atau fikir nak pakai baju warna apa. Tapi bila fikir balik, tak boleh layan perasaan kita saya sebab anak-anak, mereka sangat bersemangat.

“Cuma, saya rancang nak balik kampung tapi mungkin lama sedikit dan selepas itu, nak bawa anak-anak pergi bercuti. Maknanya raya tahun ini tiada di rumah sangat, tiada nak beli juadah apa semua. Baju raya tengok nanti dua tiga hari lagi kita cari,” katanya.

Shuib dan Allahyarham Siti Sarah berkahwin pada 2011 dan hasil perkongsian hidup selama 10 tahun, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata.

Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19, namun dalam duka tersebut, beliau sempat melahirkan anak bongsu, Ayash Affan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI