fbpx

Raihan, muzik dan dakwah tidak berpenghujung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAIHAN kini bertiga. Dari kiri, Amran, Abu Bakar dan Che Am.

SEKITAR 20 tahun lalu, kemunculan sekumpulan penasyid bernama Raihan pernah mencetuskan fenomena luar biasa dalam industri seni muzik tanah air.

Sejak album pertama lagi, Raihan meletakkan satu aras baharu terhadap industri muzik tanah air, sekali gus mengangkat nasyid turut bersaing dan seiring bersama genre muzik lain.

Kehadiran Raihan umpama pelopor kepada penasyid lain untuk sama-sama bergerak menyemarakkan irama berkenaan, seterusnya diterima meluas dalam kalangan penggemar muzik kerohanian.

Selepas 26 tahun berada dalam industri sejak 1996, Raihan masih relevan dan dikenali segenap lapisan masyarakat.

Lagu-lagu dendangan mereka, Puji-Pujian, Bismillah, Sesungguhnya dan Iman Mutiara masih menjadi siulan ramai sehingga ke hari ini.

SELAMA 26 tahun dalam industri, Raihan pernah meraih populariti sebagai kumpulan nasyid paling berpengaruh bukan sahaja di Malaysia, bahkan di beberapa buah negara lain. – AFIQ RAZALI

Fenomena

Bersyukur dengan apa yang telah ditetapkan oleh-Nya, seorang anggotanya, Che Amran Idris atau mesra disapa Che Am menyifatkan pencapaian Raihan yang mampu bertahan sehingga kini adalah atas kehendak Tuhan.

“Selama 26 tahun kami bertahan, semuanya atas kehendak oleh Allah SWT. Ketika awal penubuhan Raihan sendiri, kami semua tidak sangka akan tercetusnya fenomena luar biasa.

“Raihan mempunyai peminat bukan sahaja dari Malaysia, bahkan di seluruh dunia,” ujarnya.

Kata Che Am lagi, Raihan masih berpegang pada tujuan asal ketika awal penubuhannya iaitu untuk berdakwah.

“Raihan bukan semata-mata hiburan. Tetapi juga salah satu bentuk dakwah dengan pendekatan hiburan.

“Cara ini tepat dan mengena (berdakwah sambil berhibur) kerana kami berjaya menarik minat dan perhatian masyarakat ketika iti.

“Dalam masa sama, kami menggunakan platform hiburan untuk menyebarkan dakwah,” ujarnya.

Ketika ditebak selama mana Raihan akan bertahan, Che Am tidak mempunyai jawapan yang tepat, namun menyamakan perjalanan Raihan dengan kegiatan dakwah yang tiada penghujungnya.

“Saya tidak tahu sehingga bila Raihan akan bertahan. Cuma yang pasti, dakwah itu sendiri tidak akan terputus.

“Manusia akan terus mencari sesuatu untuk diri sendiri,” jelasnya.

MISI utama Raihan tidak pernah berubah sejak kali pertama ditubuhkan pada tahun 1996 untuk menyebarkan dakwah dalam bentuk yang lebih menarik.

Projek baharu

Terbaharu, Raihan yang turut dianggotai Amran Ibrahim dan Abu Bakar Md. Yatim muncul dengan sebuah projek khas bersama penyanyi Alif Satar serta kumpulan The Locos bertajuk The Sunnah The Better.

Raihan berbesar hati apabila Alif sekali lagi mempelawa untuk bekerjasama buat kali ketiga menghasilkan sesuatu sempena kedatangan Ramadan 2022.

“Pada 2019 lalu, Alif pernah merakamkan lagu #Sesungguhnya2019 dan Damba CintaMu yang mendapat sambutan luar jangkaan daripada penggemar muzik.

“Kini, Alif Satar & The Locos sekali lagi mengorak langkah dengan mengeluarkan EP yang memuatkan lima hits terbaik Raihan dalam bentuk audio dalam laman YouTube bermula 1 April lalu.

“Lagu-lagu yang dimuatkan termasuklah, Bismillah, 25 Rasul, Puji-Pujian x Syukur (medley), Assolatuwassalam dan Rayuan Rindu,” kata Abu Bakar.

RAIHAN bekerjasama buat kali ketiga bersama penyanyi Alif Satar & The Locos untuk mengeluarkan EP khas berjudul The Sunnah The Better.

Kekal relevan

Tambahnya, Raihan tidak pernah memilih untuk berkolaborasi dengan sesiapa dan sentiasa membuka peluang kepada penyanyi baharu untuk sebarang kerjasama.

Menyentuh tentang perancangan untuk mengeluarkan single baharu pada masa akan datang, Raihan tidak mahu terburu-buru mengeluarkan lagu dan hanya mengikut sahaja perancangan yang telah disusun oleh Allah SWT.

Katanya lagi, kesuntukan masa juga menjadi perkara yang harus difikirkan dahulu sebelum membuat keputusan untuk hadir dengan buah tangan baharu.

“Untuk lagu baharu, kita ikut sahajalah apa yang telah Allah SWT rancang. Mungkin lepas raya nanti, mana tahu boleh keluar dengan lagu baharu?” ujar Amran.

Selepas 26 tahun bertapak dalam dunia seni, Raihan berharap masih dapat meneruskan dakwah untuk dijadikan amal jariah pada masa akan datang.

Biarpun sudah tidak menyanyi lagi suatu hari nanti, Raihan berharap lagu-lagu dendangan mereka akan kekal subur di hati peminat.

PERJUANGAN Raihan kini masih diteruskan oleh tiga ahli asal (dari kiri), Amran Ibrahim, Abu Bakar Md. Yatim dan Che Amran Idris.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI