fbpx

PERKESO, foodpanda meterai MoU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Azman (tiga dari kiri) dan Sayantan (lima dari kiri) menunjukkan dokumen MoU sambil disaksikan oleh Saravanan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Penyedia perkhidmatan penghantaran dalam talian terkemuka, foodpanda Malaysia, baru-baru ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menyedia dan memperluaskan liputan perlindungan sosial kepada lebih 60,000 rakan penghantarnya di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.

MoU yang telah ditandatangani Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed dan Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Sayantan Das itu turut disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Pemeteraian MoU itu turut menyaksikan rakan penghantar penyedia platform tersebut menerima bantuan subsidi caruman tambahan oleh foodpanda Malaysia di samping bantuan subsidi sedia ada bagi caruman SKSPS daripada kerajaan menerusi inisiatif SPS Padanan Caruman di bawah Bajet 2022.

Saravanan berkata, SPS Padanan Caruman merupakan satu insentif yang ditawarkan kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS), termasuk pekerja-pekerja gig, bagi memastikan mereka dilindungi sekiranya berlaku sebarang kemalangan semasa menjalankan tugas.

“PERKESO sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia sememangnya memainkan peranan penting dan tanggungjawab yang amat besar dalam menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada pekerja, majikan dan OBS di negara ini.

“Saya percaya kerjasama antara kedua-dua agensi ini akan memberi impak yang besar khususnya kepada golongan bekerja sendiri dan keluarga mereka,” katanya semasa berucap pada majlis menandatangani MoU tersebut baru-baru ini.

Sementara itu, Mohammed Azman ketika berucap pula berkata, prihatin terhadap keselamatan dan kebajikan golongan yang bekerja sendiri di negara ini, kerajaan turut memperkenalkan satu inisiatif padanan caruman SKSPS yang juga dikenali sebagai SPS Padanan Caruman seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022.

“SPS Padanan Caruman menawarkan perlindungan bersubsidi kepada individu yang bekerja sendiri (OBS) melalui SKSPS PERKESO untuk tempoh setahun.

“Kerajaan akan membiayai 80 peratus daripada Pelan 2 caruman SKSPS (RM186.20), manakala OBS hanya perlu membayar baki 20 peratus (RM46.60) sahaja,” ujarnya.

Mengulas mengenai inisiatif itu, Sayantan Das berkata, pihaknya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan dan PERKESO kerana telah menerajui inisiatif murni seperti ini bagi manfaat rakan penghantarnya.

“Sebagai disruptor dalam ruangan q-commerce, misi kami adalah untuk menambah baik kualiti kehidupan komuniti B40 dengan menambah pendapatan melalui platform kami. Ia juga sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menerusi galakan digital dan teknologi, serta menjadi peneraju dalam ekonomi digital.

“Menerusi kolaborasi strategik ini juga, foodpanda Malaysia akan menawarkan bantuan subsidi tambahan sebanyak 50 peratus daripada baki (atau 10 peratus daripada jumlah keseluruhan) keseluruhan caruman yang perlu dibayar oleh rakan penghantar yang berjumlah RM23.30 bagi setiap individu untuk tempoh perlindungan selama setahun,” katanya.

Pemeteraian MoU bersama foodpanda Malaysia merupakan yang pertama bagi PERKESO untuk kerjasama pelaksanaan inisiatif ini.

Pendaftaran bagi inisiatif itu kini telah tersedia menerusi portal Rider Shop buat rakan penghantar foodpanda yang berminat untuk mendaftar dan memanfaatkan insentif tersebut.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI