fbpx

Pengurus syarikat rugi RM1.2 juta diperdaya Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SINDIKET Macau Scam sentiasa muncul walaupun ada ahlinya telah ditangkap menerusi operasi dan serbuan yang banyak dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia. – GAMBAR HIASAN

ALOR SETAR – Seorang pengurus syarikat kerugian lebih RM1.2 juta setelah terperdaya dengan sindiket penipuan Macau Scam sejak Oktober tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa merupakan seorang wanita berusia 46 tahun.

Katanya, mangsa pada mulanya dihubungi seorang perempuan memperkenalkan diri sebagai Sabrina kononnya petugas sebuah syarikat insurans pada 18 Oktober tahun lalu.

“Sabrina meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM70,000 bagi urusan pembelian polisi insurans syarikat tersebut, namun mangsa menafikan yang dia ada membeli polisi berkenaan.

“Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuat laporan polis sebelum talian tersebut disambung ke Balai Polis Pudu,” katanya di dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, mangsa kemudiannya bercakap dengan beberapa lagi individu memperkenalkan diri sebagai Sarjan Adam, Inspektor Mazlan dan Inspektor Yong.

“Dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan kononnya terdapat waran tangkap ke atasnya kerana terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram dan kes pembunuhan.

“Mangsa kemudian menafikan penglibatan dalam kes tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Kulim kemudian dihubungi seorang wanita memperkenalkan diri sebagai Puan Mastura yang mendakwa dirinya Timbalan Pendakwa Raya.

“Mastura mendakwa dia boleh membuat penangguhan waran tangkap tersebut dengan syarat mangsa memberi kerjasama kepada pihak polis dan melaporkan aktiviti hariannya.

“Berikutan itu mangsa mengaku telah mendedahkan maklumat akaun bank dan kad debit Bank Islam serta Bank Rakyat selain turut mendedahkan jumlah wang dalam setiap akaun bank termasuk akaun Tabung Haji berjumlah lebih RM1 juta kepada suspek,” katanya.

Menurutnya, suspek seterusnya mengarahkan mangsa membuat pindahan wang dari akaun Tabung Haji ke akaun Bank Islam berjumlah RM900,000 dan Bank Rakyat berjumlah RM200,000.

“Mangsa hanya sedar ditipu apabila dia membuat semakan terhadap kedua-dua akaun bank miliknya itu pada 11 April lalu dan mendapati wang telah dipindahkan ke akaun ketiga sebanyak RM1.25 juta,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI