Penang FC tetap menantikan kemenangan sulung mereka pada saingan Liga Super 2022 meskipun dilihat masih tercari-cari bentuk kelemahan yang perlu diperbaiki untuk diterjemahkan dalam barisan pasukannya.
Ketua jurulatihnya, Tomas Trucha berkata, beliau belum mencapai tahap kepuasan dengan aksi yang dipamerkan anak-anak buahnya pada perlawanan keenam itu, sekali gus mengharapkan tuah menyebelahi pasukannya nanti.
Menurutnya, biarpun berdepan banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun pasukannya masih gagal untuk melakukan penyudah terbaik dalam memastikan kemenangan pertama skuad Harimau Kumbang musim ini.
“Kami perlu bangkit dan terus tekankan latihan. Kami perlu menang pada perlawanan seterusnya dan berharap tuah berpihak kepada kami nanti.
“Mereka (pemain) juga dilihat tidak gembira dengan keputusan perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) di laman sendiri malam tadi (kelmarin) meskipun beberapa kali cuba membuat jaringan.
“Saya akan lakukan analisis bagi memperbaiki kelemahan pasukan dari pelbagai sudut dan yakin dapat mencipta kemenangan pada perlawanan akan datang,” katanya pada sidang akhbar di George Town malam kelmarin.
Trucha memberitahu, pada perlawanan ‘derbi utara’ itu, beliau sedaya upaya menggantikan posisi tiga pemain utama iaitu Anselmo Arruda da Silva, Rafael Vitor Santos dan Muhammad Adib Abdul Ra’op yang direhatkan akibat mengalami kecederaan.
“Ketiadaan ketiga-tiga mereka memaksa kami menukar corak permainan pada perlawanan malam tadi, namun masih berupaya memperoleh jaringan sulung biarpun Kedah dilihat menguasai perlawanan pada masa pertama,” ujarnya.