JAGUH pecut muda negara, Muhammad Arsyad Md. Saat kecewa dengan prestasi yang dipamerkannya pada final 100 meter (m) Terbuka Singapura kelmarin.
Apa tidaknya, pelari berusia 20 tahun itu terlepas peluang untuk menaiki podium pada kejohanan antarabangsa pertamanya apabila sekadar meraih tempat keempat.
Bukan itu sahaja, catatannya iaitu 10.77 saat (s) juga adalah masa terendah dilakukannya dalam tahun ini selepas terdahulu mencipta 10.48s, 10.59s, 10.68s dan 10.63s.
Sehubungan itu, Arsyad bertekad untuk memperbaiki segala kelemahan dalam tempoh masa yang ada sebelum Sukan SEA di Hanoi, Vietnam bermula 12 Mei depan.
“Catatan 100m saya pada aksi final hari ini (kelmarin) kurang baik. Mungkin sebab saya beraksi dalam keadaan berpuasa dan cuaca panas terik menyebabkan saya mengalami dehidrasi.
“Apa-apa pun saya akan berusaha lebih baik lagi selepas ini kerana masih ada masa untuk tingkatkan setiap aspek larian saya,” katanya.
Dua lagi wakil negara pada aksi final 100m itu iaitu Jonathan Nyepa berjaya meraih pingat emas dengan catatan 10.66s dan Muhammad Haiqal Hanafi memenangi gangsa menerusi masa 10.75s.
Pingat perak pula berjaya dimenangi atlet tuan rumah, Marc Brian Louis selepas merekodkan 10.67s.
Sebagai rekod, Malaysia menyenaraikan nama Arsyad dan Russel Alexander Nasir Taib untuk acara individu 100m pada Sukan SEA Hanoi bulan depan.