fbpx

Kreativiti seni menjelang Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Pernah satu ketika, baju raya dicemari fesyen ‘extra’ besar dan ada juga ketikanya, extra uniseks, sampai tak tak tahu nak dibezakan, baju raya atau penyangkut baju bergerak semasa acara New York Fashion Week.

Musim raya juga, terserlah bermacam idea kreatif anak seni, karyawan televisyen mahupun pemuzik tanah air.

Dahulu kita pasti akan tertunggu-tunggu iklan hari raya syarikat-syarikat konglomerat seperti Telekom, TNB, Petronas, Proton mahupun EON.

Masih ingat dengan lirik iklan raya EON, Jamal Abdillah dan Ogy Ahmad Daud, ‘berhati-hati di jalan raya, semoga anda selamat tiba, ucapan selamat hari raya, dari EON untuk semua.’

Begitu juga dengan iklan raya, anak-anak bawa pulang dengan seekor lembu terus agar tidak mengecewakan persiapan juadah lauk-pauk pesanan si ibu.

Jika tanpa pakaian baharu dan juadah wajib, raya ibaratnya tidak bermakna, sama juga dengan peranan lagu raya menjelang 1 Syawal nanti.

Tidaklah sederas adrenalin keterujaan mencari baju raya sedondon tema, balik kampung ‘team raya di mana’ dan senarai biskut untuk memenuhi meja menunggu tetamu, keperluan lagu raya ada peranan tersendiri.

Kalau tahun lepas ramai naik marah, depresi dan berdenyut urat mata terhiris sukma setiap kali melintasnya melodi Balik Kampung dendangan Allahyarham Sudirman. Tahun ini untuk yang mahu pulang beraya, teringat saja lirik lagu berkenaan, sudah terbayang-bayang berapa belas jamkah nanti harus mengharungi lebuh raya untuk pulang ke destinasi masing-masing. Jenuh tetapi itulah raya.

Semacam beraya tak sah tanpa ketupat dan lemang, lontong kuah kacang dan nasi impit, rendang atau sambal Jawa. Begitulah lagu-lagu memberi nilai tambah terhadap sambutan 1 Syawal.

Kita boleh sebak tatkala mendengar Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone) atau Dendang Perantau (P. Ramlee) atau Pulanglah (Aishah). Kita boleh ceria mahu berjoget sambil kemas bagasi saat vokal emas Sanisah Huri menyampaikan lagu Aidilfitri atau Satu Di Hari Raya dan Kepulangan Yang Dinanti. Itu semua bakal menikam jiwa jika sekatan perjalanan masih di takuk 2020 dan 2021.

Halwa telinga dengan dendangan menyentuh naluri, pesanan kemasyarakatan menerusi iklan komersial dan tidak ketinggalan, naskhah air mata yang merobek kesyahduan emosi, semua itu ‘signatur’ raya yang menusuk pemahaman dan bacaan jiwa sepanjang tempoh akhir Ramadan serta menjelang Syawal.

Bayangkan raya kita tanpa semua itu. Sekarang, zaman milenial yang divariasikan lagi macam-macam ruang berekspresi tidak hanya menghadkan kreativiti seni raya kepada golongan seniman profesional untuk berkarya, Ramai yang ada TikTok, Instagram dan Facebook, masing-masing boleh berkarya dengan acuan kreativiti tersendiri.

Tak sabar pula rasanya nak tengok video apa yang bakal tular raya nanti. Kecaman dan pujian akan ada, itulah seni raya manusia tamadun ‘medsos’ yang disambut pancawarna.

Satu sahaja, jangan pula raya nanti dicemari perkongsian onar yang semata-mata mahukan #fyp atau tular tapi memijak kesantunan budaya dan kesucian agama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI