PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak ditemui terbiar di sebuah tapak pelupusan sampah di Sandakan, Sabah baru-baru ini oleh sekumpulan aktivis kemasyarakatan.
Difahamkan, mereka menemui kanak-kanak berkenaan ketika menyantuni golongan kurang berkemampuan yang tinggal di Batu 8, Sandakan untuk memberikan bantuan pakaian raya dan makanan.
Menerusi hantaran Padaedi Sandakan di laman Facebook semalam, ia menceritakan keadaan kanak-kanak itu mengelap air matanya di tepi sebuah kereta sambil mendakwa dirinya tidak mendapat bantuan.
“Ketika memberi sumbangan di pusat pelupusan sampah Batu 8, kelihatan anak kecil ini sedang mengelap air mata di tepi kereta, katanya dia tak dapat bantuan.
“Jadi dia sedih teresak-esak, dia menangis tanpa suara mengelap air matanya seolah-olah menapuk kesedihannya,” tulisnya.
Menurutnya, kanak-kanak itu turut bekerja mencari wang belanja dengan mengutip barangan kitar semula di tapak pelupusan sampah terbabit.
“Bayangkan kawan-kawan tubuh sekecil ini, berada di tempat begini di kelilingi oleh sampah, ikut mencari duit dan sudah tahu apa itu bantuan.
“Sepatutnya tubuh sekecil ini hanya bermain saja, bergembira seperti anak-anak yang lain tapi tidak dia, tengok anak buah di rumah, tengok anak-anak bermain di masjid teringat anak kecil ini,” katanya lagi.
Sehubungan itu, rata-rata orang ramai turut bersimpati dengan nasib kanak-kanak tersebut dan ramai yang ingin menyalurkan bantuan kepadanya.
“Budak ini umur berapa, boleh aku kumpul baju-baju anak-anak untuk beri kepada dia,” komen Supradi Yusuf.
“Macam mana saya nak salurkan bantuan, kalau tak dapat nak hantarkan barang, saya beri sedikit wang untuk buat belanja bantu adik itu, kasihan tak terurus dilihatnya, semoga Allah melindungimu anak kecil,” luah Suraya. – KOSMO! ONLINE