fbpx

Budak dua tahun rentung terperangkap dalam rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan rumah yang musnah di Kampung Sabah Baru, di Jalan Nipah, Lahad Datu hari ini.

LAHAD DATU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran di Kampung Sabah Baru, di Jalan Nipah hari ini.

Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, mayat mangsa ditemui selepas kebakaran berjaya dipadamkan pasukan bomba dan penyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.52 pagi sebelum sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba bertugas mendapati sekurang-kurangnya 30 rumah jenis tidak kekal musnah terbakar.

“Bagaimanapun, operasi pemadaman dilakukan bagi mengelakkan kebakaran terus merebak ke rumah berhampiran

“Pasukan bomba juga terpaksa memecahkan empat lagi rumah berhampiran bagi menyekat api daripada terus merebak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba juga berdepan kesukaran memasuki kawasan kebakaran disebabkan jambatan yang terlalu sempit dan usang.

Sementara itu, Sumsoa berkata, mayat kanak-kanak perempuan terbabit dipercayai berada di rumah pertama yang terbakar.

“Mayat kanak-kanak terbabit sudah dihantar ke Hospital Lahad Datu dan kes diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 10.55 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.15 petang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI