SABAN tahun, bagai sudah menjadi tradisi buat penyanyi dan juga komposer popular, Hael Husaini untuk tidak ketinggalan muncul dengan lagu raya baharu.
Tidak sekadar membikin lagu raya, malah setiap tahun Hael pasti mencipta kelainan agar lagu raya dendangannya menjadi sebutan peminat muzik.
Sebelum ini Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, 34, pernah menarik perhatian khalayak apabila muncul dengan lagu raya berjudul Bersyukur Seadanya.
Tahun ini buat pertama kalinya, Hael tidak lagi berseorangan mendendangkan lagu raya sebaliknya, dia ditemani kumpulan Dolla menerusi single raya istimewa berjudul Suara Lebaran Kita.
“Jika sebelum ini lagu-lagu raya saya selalunya keseorangan, tetapi kali ini saya hendak berteman pula.
“Jadi, saya menyapa Dolla di media sosial dan mereka memberi respons baik dan terus saya mengajak mereka masuk ke studio,” jelas Hael tentang kolaborasi tersebut.
Bercerita lanjut tentang lagu raya rancak dalam nuansa pop dansa itu, kata Hael, meskipun single Suara Lebaran Kita mempunyai ‘rasa’ yang moden, namun masih mengekalkan bunyi kemeriahan sambutan Aidilfitri.
“Lagu ini saya ciptakan bersama-sama Ezra Kong dan kami ada memasukkan elemen K-pop yang sememangnya sinonim dengan Dolla.
“Tetapi lagu tersebut telah ‘dimelayukan’ dan pendengar harus mendengarnya sendiri,” tambah Hael dalam nada teruja.
Peluang keemasan
Biarpun sibuk dengan kepadatan jadual kerja, kumpulan Dolla yang dianggotai Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya juga sebenarnya enggan melepaskan peluang berkerjasama dengan Hael.
Sebagai pendatang baharu dunia muzik, Dolla menyifatkan peluang keemasan sebegini jarang-jarang berlaku, apatah lagi apabila pelawaan tersebut datangnya daripada Hael sendiri.
“Sudah tentunya kami sangat teruja dan terkejut apabila penyanyi sehebat Hael ingin berkolaborasi dengan Dolla.
“Single raya ini merupakan lagu raya kedua daripada Dolla selepas lagu Raya Raya Raya pada tahun lalu dan ini pertama kali kami berkolaborasi dengan penyanyi lain,” ujar Syasya.
Menceritakan pengalaman rakaman Suara Lebaran Kita di studio bersama Hael dan Ezra, prosesnya berjalan dengan mudah meskipun menyanyikan lagu yang berbeza genre daripada kebiasaan.
“Kami mudah bekerja dengan Hael dan Ezra kerana ada keserasian, proses rakaman di studio cuma mengambil masa sekitar lima jam.
“Walaupun lagu ini agak berbeza dengan genre yang biasa kami bawakan, namun melodinya mengasyikkan, unik, dan ‘quirky’,” kongsi Sabronzo.
Lagu Suara Lebaran Kita merupakan usahasama dua label syarikat rakaman terkenal iaitu Rocketfuel Entertainment dan Universal Music Malaysia.
Berbeza dengan lagu-lagu raya sedia ada, Suara Lebaran Kita menceritakan tentang perasaan orang ramai yang mendambakan kemeriahan sambutan Aidilfitri bersama keluarga dan teman-teman seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.
Justeru, Hael dan Dolla mengharapkan lagu yang telah dilancarkan menerusi semua platform digital, termasuk YouTube sejak 15 April lalu dapat menyuntik kegembiraan sambutan raya buat seluruh rakyat Malaysia pada tahun ini.
“Saya dan Dolla mengharapkan peminat kami sukakan single raya ini kerana mesej kegembiraan dan kebersamaan yang ada di dalamnya.
“Semoga raya pada kali ini memberi seribu keberkatan dan makna buat kita semua,” ujar Hael menutup bicara.
Peminat kini boleh memuat turun dan mendengar lagu Suara Lebaran Kita menerusi iTunes, Joox, KKBOX, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.