SERDANG – Sindiket pusat panggilan (calling centre) yang menawarkan kerja sambilan yang tidak wujud dengan menyasarkan warga Singapura dan Australia tumpas dengan penahanan empat individu semalam.
Kesemua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 26 tahun itu diberkas dalam satu serbuan di sebuah unit kondominium di Jalan Dagang SB, The Mines Resort City Seri Kembangan, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, bertindak atas maklumat penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) daerah melakukan serbuan pukul 2.10 petang.
“Menerusi serbuan pertama, pihak polis berjaya menahan empat lelaki tempatan dan merampas lima unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua set dokumen SSM, satu rangkai anak kunci bersama kad akses di kawasan sebuah kondominium di Jalan Dagang SB, The Mines Resort City Seri Kembangan.
“Polis kemudiannya melakukan serbuan kedua di sebuah unit kondominium di Jalan Akasa, Cheras Selatan, Seri Kembangan yang disyaki dijadikan tempat beroperasi kegiatan penipuan tawaran kerja sambilan yang tidak wujud dan merampas tiga unit komputer riba pelbagai jenama,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sindiket tersebut berperanan menjalankan kegiatan pusat panggilan penipuan tawaran kerja dalam talian yang menyasarkan warga asing khususnya Singapura dan Australia.
“Mereka dipercayai berperanan sebagai operator pusat panggilan untuk mencari mangsa sejak Januari lalu dan menggunakan akaun bank Australia dan Singapura untuk semua transaksi pembayaran.
“Sindiket ini juga menjadikan platform Telegram dan aplikasi WhatsApp sebagai medium perhubungan di antara mereka dan mangsa,” katanya.
Jelas beliau, hasil daripada kegiatan penipuan itu, sindiket telah menjana keuntungan kira-kira RM150,000 sebulan.
Katanya, semakan mendapati kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau dan kesemuanya direman selama empat hari hingga 21 April ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.