KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi lelaki tempatan menerusi serbuan berasingan Ops Gaston selama dua hari bermula Khamis lalu di sekitar Lembah Klang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Jasmirol Jamaluddin berkata, operasi itu dijalankan pada pukul 9 malam di kondominium serta pangsapuri.
“Menerusi serbuan, kita berjaya menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun dan merampas dadah bernilai kira-kira RM386,757.
“Dadah terbabit termasuk syabu sebanyak 3.2 kilogram(kg), heroin seberat 8.4kg, ganja (10.8kg), pil erimin 5 sebanyak 3,150 biji dan ketamin (365 gram),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Jelasnya, polis turut merampas sejumlah wang sebanyak RM2780 menjadikan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM389,537.
Mengulas lanjut, Jasmirol memaklumkan sindiket itu telah aktif selama tiga bulan dan menjalankan perniagaan mengikut permintaan pelanggan secara kecil-kecilan di jalanan, hotel dan pusat hiburan.
“Mengikut rekod, tiga lelaki memiliki jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis syabu serta ganja.
“Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE.