KETIKA ini, nama penyanyi Lisa daripada kumpulan popular Blackpink cukup gah di mata dunia.
Bukan hanya menjadi seorang anggota kumpulan K-pop paling berpengaruh di dunia, bahkan langkah solo yang diatur sejak tahun lalu menerusi single debut Lalisa memecah rekod tersendiri.
Selain Lalisa, penyanyi asal Thailand itu turut meluncurkan sebuah lagi lagu solo berjudul Money yang juga menerima sambutan luar biasa daripada peminat di seluruh dunia.
Ditanya tentang perihal ledakan populariti yang dikecapinya sehingga ke hari ini, Lisa yang muncul dalam majalah Elle keluaran edisi Mei sejujurnya tidak pernah meletakkan sebarang jangkaan tinggi untuk lagu-lagunya diterima ramai.
“Saya tak pernah menjangkakan yang lebih tentang sambutan (lagu-lagu). Saya cuma rasa sudah buat yang terbaik dan bersyukur serta menerima apa sahaja respons peminat.
“Tetapi tak sangka kedua-dua lagu saya sangat disukai. Sampai sekarang, saya dapat tahu lagu Money masih dimainkan di kelab malam mereka (negara-negara peminat),” ujarnya.